SBC/CIR/030/2020
04th May, 2020

Dear Members & Pupils of the Selangor Bar,

The Selangor Bar Committee has just received a notification from the Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Selangor regarding the above.

The said notification has been reproduced below.

Members, are advised to please take note and be guided accordingly.

Thank you,

Murali Velautham
Chairman
Selangor Bar CommitteeSelangor Bar Committee
___________________________________________________________________________

Y Bhg. Dato’/Tuan/Puan,

Dengan segala hormatnya merujuk kepada perkara tersebut di atas.

2. Merujuk kepada mesyuarat bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) pada 23 April 2020 setelah keputusan Jemaah Menteri bertarikh 25 Mac 2020 berhubung isu penutupan kaunter Jabatan Kerajaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan setelah dipertimbangkan oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN) pada 29 April 2020, Pejabat Tanah dan Galian Selangor telah bersetuju untuk menerima beberapa urusan perserahan yang melibatkan pengeluaran dana dan pembiayaan pinjaman kepada usahawan di bawah MEDAC.

3. Penerimaan urusan ini melibatkan urusan Gadaian, Carian Rasmi berkaitan Gadaian dan pungutan bagi Surat Kebenaran Pentadbir Tanah bagi hakmilik Landed dan Strata di Pejabat Tanah dan Galian Selangor dan semua Pejabat Tanah Daerah dalam Negeri Selangor. Semua urusan ini tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan oleh PTGS dan PTD sebelum perserahan dibuat setelah memenuhi syarat yang ditetapkan.

4. Melalui surat MEDAC bertarikh 11 April 2020, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengambil maklum berhubung operasi kaunter dan tiada halangan terhadap permohonan berkenaan. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui surat kepada MEDAC bertarikh 15 April 2020 juga tiada halangan bagi premis Kerajaan berkenaan untuk beroperasi setelah mendapat kebenaran dari pihak berkuasa yang mengawal selia perkhidmatan tersebut.

5. Sehubungan dengan itu, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan semua Pejabat Tanah Daerah dalam Negeri Selangor akan mula beroperasi secara terhad (secara temujanji ‘appointment based’) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 5 Mei 2020 (Selasa) ini.

6. Perserahan yang dibuat adalah secara Drive-Thru atau mengikut kesesuaian jabatan masing-masing dan bayaran akan dilakukan secara Bank Deraf sahaja bagi memastikan waktu berurusan adalah sangat minima. PTGS mewajibkan agar hanya Peguam sahaja dibenarkan untuk melakukan perserahan dan dengan tujuan yang munasabah. Selain itu, surat kebenaran beroperasi dari Kementerian Pedagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan kelulusan dari Kementerian Pembangunan Usahawan dan Korperasi (MEDAC) adalah diwajibkan sekiranya ingin membuat perserahan.

7. Bagi memastikan keselamatan pegawai dan kakitangan terlibat serta mematuhi langkah pencegahan penularan wabak yang disarankan oleh KKM, PTGS dan PTD akan mewajibkan pematuhan langkah seperti memakai penutup muka (face mask), perjarakan sosial, ujian bacaan suhu harian dan mengurangkan waktu berurusan demi memastikan keselamatan dan mengelakkan ancaman wabak berlaku.

8. Hebahan kepada firma guaman dan usahawan yang terlibat akan dibuat melalui The Selangor Bar dan MEDAC. Dilampirkan bersama-sama ini surat rasmi, carta alir proses permohonan, maklumat Pegawai Perhubungan Jabatan dan dokumen bekaitan untuk rujukan Y Bhg. Dato’/tuan/puan.

i) Surat Makluman Operasi PKP
ii) Carta Alir Permohonan
iii) Slaid Makluman Kaunter PKP
iv) Deraf Surat Permohonan (Pemohon)
v) Borang Penyerahan Suratcara
vi) Borang Carian Rasmi

9. Perhatian dan tindakan Y Bhg. Dato’/tuan/puan dalam perkara ini amat diharapkan dan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Sekian.

“SELANGOR MAJU BERSAMA”
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

Saya yang menjalankan amanah,

(DATO’ ZUL-KEFLI @ ZULKEFLI BIN KHALID) D.P.M.S, S.I.S
Pengarah Tanah Dan Galian Negeri Selangor

RECENT POSTINGS

Events with CPD points